Ciri teknologi yang diutarakan oleh Islam adalah tidak bebas nilai, sebagaimana halnya dengan sains. Ini beerti, kemajuan teknologi yang dihasilkan oleh sains mempunyai arah dan tujuannya tersendiri, dan melihat kepada nilai-nilai akhlak yang terkandung di dalam ajaran Islam.
Kalau dilihat dalam Islam, teknologinya harus bersifat sepadu. Dengan sebab itu sumber alam, seperti udara, tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang, galian, air dan lain- lain harus dijaga untuk mengimbangi alam seluruhnya. Perlanggaran terhadapnya atau kerosakan yang dibuat dianggap berdosa. Sumber alam tersebut boleh diterokai untuk dijadikan Bandar, tetapi harus dicari alternatif terhadap penebangan tersebut umpamanya dengan menanam semula. Hal ini kerana, apabila hutan ditebang tanpa gantiannya beerti sistem ekologi alam akan pincang, kandungan oksigen atau lain-lain yang secukupnya akan berkurangan dan seterusnya menambahkan kepanasan suhu bumi. Akibatnya juga akan timbul bencana alam yang lain, kerana tindakan pembangunan teknologi itu. Perkara ini dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud :
“Telah zahir kefasadan (kerosakan) di daratan dan di lautan hasil dari tangan-tangan manusia…”
Sumber Rujukan : Konsep Tamadun Islam (Sains dan Teknologi)
Pengarang : Esa Khalid
Penerbit : UTM
Tahun : 2001